PEMBERITAHUAN PEPERIKSAAN SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA (STPM) BAHARU
1. Dimaklumkan bahawa pada 4
Januari 2012, Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) telahbersetuju
meluluskan pelaksanaan sistem pentaksiran baharu STPM bagi
menggantikan sistem pentaksiran STPM sedia ada untuk sesi pengambilan tahun
2012/2013.
2. Pelajar yang berada pada
tingkatan enam atas sesi persekolahan tahun 2012 tidak terjejas bagi menduduki
peperiksaan STPM sedia ada dan merupakan kohort terakhir yang akan menduduki
STPM pada bulan November/Disember 2012 seperti yang termaktub dalam Kalendar
Peperiksaan STPM dan MUET 2012 yang terdapat pada portal MPMhttp://www.mpm.edu.my.
3. Pelajar tingkatan enam bawah
tahun 2012 merupakan kohort pertama sistem pentaksiran baharu STPM yang akan
menduduki peperiksaan penggal 1 persekolahan tingkatan enam pada November 2012
dan juga buat pertama kalinya akan melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah
(PBS). Kalendar Peperiksaan STPM (baharu) bagi sesi 2012/2013 dan Jadual Waktu
Peperiksaan STPM (baharu) bagi sesi 2012/2013 untuk penggal 1 akan dimuat naik
pada portal MPM http://www.mpm.edu.my.
4. Dari aspek kandungan pengajian,
sistem pentaksiran baharu STPM dibahagikan kepada tiga bahagian kurikulum
berdasarkan kelompok tajuk atau mengikut kesesuaian bidang kajian disiplin
berkenaan untuk mengisi tiga penggal, iaitu penggal 1, penggal 2, dan penggal 3
dalam tempoh pengajian selama 11/2 tahun.
5. Dalam sistem pentaksiran baharu
STPM, tempoh pengajian tingkatan enam adalah sama dengan tempoh persekolahan
mengikut kalendar persekolahan yang dilaksanakan pada masa ini. Peruntukan
waktu pengajaran juga adalah sama seperti jadual waktu persekolahan yang sedia
ada bagi tingkatan enam, iaitu lapan (8) waktu seminggu bagi setiap mata
pelajaran (1 waktu pengajaran = 40 minit). Oleh itu, sistem pentaksiran baharu
STPM ini tidak menganggu dan tidak mengubah sistem persekolahan sedia ada.
6. Dalam sistem pentaksiran baharu
STPM ini juga, pentaksiran pencapaian pelajar akan dijalankan pada setiap
penggal dan keputusan peperiksaan juga akan dikeluarkan pada setiap penggal.
7. Pelajar juga dibenarkan untuk
memperbaiki keputusan peperiksaan akhir penggal 1 dan/atau penggal 2 dengan
menduduki semula peperiksaan akhir bagi penggal berkenaan pada hujung penggal 3
(hujung tahun). Pelajar yang tidak mencapai keputusan yang baik bagi penggal 3
boleh juga menduduki semula peperiksaan akhir penggal 3 sahaja pada bulan
Mac/April tahun berikutnya. Keputusan keseluruhan peperiksaan STPM baharu ini
adalah berdasarkan gabungan keputusan terbaik bagi ketiga-tiga penggal.
8. Dari aspek sistem pentaksiran
baharu STPM pula, pelajar akan dinilai berdasarkan dua kaedah pentaksiran,
iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan wajaran 20% hingga 40% dan
peperiksaan akhir berpusat dengan wajaran 60% hingga 80%. (Peratusan wajaran
berbeza mengikut mata pelajaran).
9. Kadar yuran per calon dalam
sistem ini (untuk ketiga-tiga penggal) ialah yuran asas sebanyak RM120.00 dan
yuran setiap mata pelajaran sebanyak RM90.00. Namun demikian, calon sekolah
kerajaan dan calon sekolah bantuan kerajaan dikecualikan daripada membayar
yuran peperiksaan STPM baharu ini seperti yang termaktub dalam Surat Pekeliling
Ikhtisas Bil. 1/2007: Garis Panduan Pengoperasian Dasar Pemansuhan Yuran
Peperiksaan Awam bertarikh 10 Januari 2007.
10. Arahan dan Panduan Pendaftaran
Calon bagi pentaksiran baharu STPM untuk pelajar tingkatan enam bawah sesi
persekolahan tahun 2012 yang perlu menduduki peperiksaan penggal 1 pada bulan
November 2012 boleh dirujuk pada portal MPM http://www.mpm.edu.my.
11. Dokumen berikut akan diedarkan ke
semua sekolah yang mempunyai tingkatan enam dan juga boleh didapati pada portal
MPM http://www. mpm.edu. my.
(a) Peraturan dan Skema Peperiksaan
bagi pentaksiran baharu STPM 2012/2013
(b) Sukatan pelajaran STPM baharu bagi
semua mata pelajaran
12. Garis Panduan Pengurusan dan
Pengendalian Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi pentaksiran baharu STPM
untuk guru dan pelajar akan dimuat naik oleh MPM pada bulan Mac 2012.
Nota: Naskhah tercetak dokumen pada para 11 hanya akan dibekalkan oleh
MPM kepada pihak sekolah untuk tahun 2012 sahaja manakala pada tahun-tahun
berikutnya pihak sekolah/calon hendaklah memuat turun dan mencetaknya sendiri
daripada portal MPMhttp://www.mpm.edu.my.
Majlis
Peperiksaan Malaysia
Bandar Baru
Selayang
68100 BATU
CAVES
Selangor Darul
Ehsan
Telefon:
03-6136 9663
Faksimile:
03-6136 1488
E-mel: ceo@mpm.edu.my
Portal: www.mpm.edu.my